Wednesday, November 11, 2009

Pemikiran Fiqh : PANDANGAN AL-QARADHAWI TENTANG IJTIHAD KONTEMPORARI

Bicara Guruku
Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi bin Abd Majid

Pendahuluan
"Ijtihad kontemporari" secara mudahnya boleh diertikan sebagai penyelidikan hukum Islam berasaskan realiti hidup semasa. Dalam pengajian hukum Islam, ijtihad biasa dihuraikan sebagai usaha gigih para ulama dalam menentukan hukum Islam berasaskan kepada dalil-dalil yang terperinci. Dalam melakukan usaha seperti ini mereka sentiasa berpandukan kaedah yang dikenali sebagai "usul al-Fiqh", yang boleh diterjemahkan sebagai "Metodologi hukum Islam".
Sejak selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. sampai ke zaman kemuncak pemikiran hukum Islam di bawah pimpinan para Imam Mujtahidin dan para pengikut mereka, ijtihad telah memainkan peranan yang sangat berkesan. Hasilnya bidang pemikiran hukum Islam kaya dengan warisan hukum Islam yang diijtihadkan sehingga melampaui zaman. Berasaskan kepada warisan hukum inilah penyelidikan dan pengajian seterusnya dilakukan berabad-abad lamanya sehingga kemudian melahirkan fenomena seolah-olah ijtihad dalam konsepnya yang asal tisak diperlukan lagi atas alasan bahawa hasil ijtihad yang diwarisi itu sudah lebih daripada cukup untuk menjawab semua persoalan hukum di setiap zaman.
Bagaimanapun, tidak semua para ulama terkemudian bersetuju dengan fenomena ini. Bagi mereka ijtihad perlu digerakkan semula bagi melahirkan kesimpulan-kesimpulan hukum yang lebih bersifat semasa dengan alasan bahawa realiti hidup sudah jauh berubah berbanding zaman kemuncak pemikiran hukum Islam yang melahirkan warisan hukum yang ada sekarang. Al-Qaradhawi salah satu contoh para ulama kntemporari yang berpendirian seperti ini.
Keperluan Kepada Ijtihad Kontemporari
Persoalan yang paling asas ialah apakah ijtihad seperti ini benar-benar perlu dilakukan? Al-Qaradhawi secara tegas mengatakan ya!. Sehubungan dengan ini beliau mengkritik pandangan sesetengah para ulama sekarang yang bersikap negatif terhadap keperluan ini. Kata beliau, mereka ini sangat berbangga dengan hasil warisan dan terlampau yakin terhadap para tokoh ulama silam sehingga merasakan tiada lagi apa-apa yang boleh ditambah di samping hasil usaha mereka yang sangat besar itu.
Sebagai penolakan terhadap pandangan yang konservatif ini al-Qaradhawi menegaskan bahawa seruan ke arah ijtihad kontemporari tidak sekali-kali boleh bererti memperkecilkan nilai warisan berkenaan atau merendahkan kedudukan para fuqaha terdahulu atau juga meremehkan mana-mana aliran pemikiran yang sedia ada. Sebaliknya, kata beliau ia adalah suatu pilihan sikap yang amat rasional kerana adalah suatu sikap yang melampau dan tidak rasional untuk mengatakan bahawa dalam buku-buku fiqh yang diwarisi itu terdapat semua jawapan kepada segala persoalan yang baru timbul.
Bagi menegaskan pandangan beliau ini al-Qaradhawi membangkitkan soal realiti hidup semasa yang memerlukan pengolahan semasa. Kata beliau, "Ulama silam tidak mengetahui persoalan-persoalan semasa ini. Malah mereka mungkin tidak pernah terfikir tentang realiti yang ada sekarang dan mungkin menyifatkannya sebagai perkara-perkara mustahil boleh berlaku.
Bagi al-Qaradhawi, pandangan beliau ini tidak berpijak di atas kosong. Kata beliau, ulama silam sendiri yang menganjurkan pandangan seperti itu dengan menegaskan keperluan perubahan hukum kerana perubahan zaman, tempat, keadaan dan resam hidup. Tambah beliau lagi, bagi tujuan penegasan ini para ulama tersebut telah menulis berbagai-bagai buku dalam berbagai-bagai aliran bagi memperkatakan tentangnya.
Bagaimanapun, al-Qaradhawi tidak bermaksud bahawa ijtihad kontemporari diperlukan bagi tujuan menjawab persoalan hukum semasa sahaja, tetapi juga mencukupi pemurnian semula hasil ijtihad yang sudah ada termasuk bagi tujuan menilai perbezaan pendapat yang pernah berlaku di kalangan para fuqaha terdahulu. Malah, kata beliau penilaian semula ini seharusnya bukan setakat berlaku terhadap hukum-hukum yang diijtihadkan secara akal (aqli), iaitu yang bersandarkan kebiasaan dan budaya hidup atau kepentingan semasa, tetapi juga perlu merangkumi hukum-hukum yang berasaskan nas-nas bertaraf "zanni", sama ada dari segi "thubut" iaitu periwayat atau dari segi "dilalah" iaitu pendalilan. Antara contoh nas seperti ini ialah hadith-hadith ahad dan juga nas-nas al-Quran dan al-Sunnah yang mengandungi pengertian yang longgar.
Kemudahan Prasarana
Sebagaimana dimaklumi, ijtihad tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat. Ia memerlukan berbagai prasarana termauk para mujtahid yang cukup berkaliber sama ada dari segi akademik mahupun keperibadian.
Sehubungan dengan ini al-Qaradhawi menegaskan bahawa untuk memenuhi syarat-syarat seperti itu sekarang ini bukan merupakan sesuatu yang sangat susah. Kata beliau hanya mereka yang mempunyai tujuan untuk menyempitkan kelonggaran yang diberikan Allah dan menutup pintu rahmat yang Tuhan buka kepada para hambanya sahaja yang selalu menggambar-gemburkan kesukaran dalam memenuhi syarat-syarat seperti itu. Bagi menegaskan lagi pandangan beliau ini al-Qaradhawi menukilkan pandangan-pandangan beberapa ulama kontemporari yang dihormati seperti Rasyid Redha dan al-Hajawi al-Fasi dalam buku masing-masing yang masyhur.
Antara nukilan berkenaan ialah apa yang disebut oleh Rasyid Redha dalam Tafsir al-Manar seperti berikut:
"Untuk menghasilkan ijtihad yang mereka sebutkan itu bukanlah susah. Ia tidak memerlukan kerja yang lebih berat daripada apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang berusaha mendapat ijazah tinggi dalam bidang ilmu semasa seperti undang-undang, perubatan dan falsafah."
Dari kata-kata al-Hajawi beliau menukilkan ungkapan berikut:
"Sumber ijtihad bagi zaman kita ini lebih mudah diperolehi dari zaman lampau. Dengan adanya percetakan ilmu telah dapat diwariskan dengan mudah dari generasi ke generasi. Sedangkan orang-orang terdahulu begitu sukar sekali untuk menerbitkan hasil penulisan mereka. Mereka memerlukan masa yang lama dan perbelanjaan yang besar."
Malah beliau menukilkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang sangat dalam maksudnya, yang bermaksud:
"Bandingan umatku sama seperti hujan. Tidak diketahui mana yang lebih baik sama ada yang turun dahulu atau yang turun kemudian." Hadith riwayat al-Tirmidhi daripada Anas Ibn Malik.
Bagi lebih memudahkan lagi kerja-kerja ijtihad ini al-Qaradhawi mencadangkan ia dilakukan berasaskan pengkhususan. Kata beliau, dengan mengambil kira pendapat ulama yang mengharuskan pemecahan bidang ijtihad pengkhususan-pengkhususan boleh ditentukan. Dalam keadaan seperti ini, kata beliau, kerja-kerja ijtihad menjadi jauh lebih mudah.
Penutup
Al-Qaradhawi bukan sahaja berteori dalam masalah ini. Beliau sendiri mempraktik apa yang diteorikannya itu. Antara buku beliau yang masyhur yang mengandungi banyak hasil ijtihad kontemporari beliau ialah kitab "Fiqh al-Zakat" yang sampai ke hari ini tiada tandingan lagi dari segi penulisannya.

No comments:

Post a Comment